PERUTUSAN
Sukar untuk saya menyusun bait-bait penghargaan ini, bimbang ada jasa tidak dikenang, ada budi yang terbuang, ada hati bertukar walang.Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik pemberi balasan.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Sang Penguasa Alam. Kepada suami, anak-anak & ahli keluarga yang sentiasa menyokong dan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa meminjamkan telinga dan bahu. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada
#1 Jawatankuasa Persatuan Alumni SMKAKS 2019-2023 atas kejayaan cemerlang penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni SMKAKS kali ke 3 baru-baru ini, tidak dilupakan pelbagai lagi usaha-usaha memastikan kemapanan persatuan.
#2 Suruhanjaya Pilihanraya Pemilihan Jawatankuasa baharu atas kejayaan mengendalikan e-undi buat julung-julung kalinya sebagai wahana pengundian dengan begitu lancar, sistematik dan tersusun.
#3 Majlis Perwakilan Alumni, yang terdiri daripada wakil-wakil setiap batch yang berfungsi menyampaikan maklumat kepada sahabat-sahabat se-batch, satu entiti terpenting yang menjadi faktor terbesar kejayaan penganjuran Jubli Perak SMKAKS 2019.
#4 Ahli-ahli berdaftar yang telah menunaikan tanggung jawab memilih kepimpinan baharu.
#5 Calon-calon bertanding yang sudi menerima pencalonan walaupun pada awalnya tidak rela.
#6 Para Alumni dan mantan guru yang telah bermurah hati menaja pelbagai hadiah & tajaan sempena AGM kali ke 3
#7 Jawatankuasa Persatuan Alumni SMKAKS sesi 2013-2019 di atas penganjuran cemerlang program Sambutan Jubli Perak SMKAKS tahun 2019 yang lalu.
#8 Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SMKAKS atas ketekunan usaha yang membuahkan hasil, berjaya merealisasikan pendaftaran Persatuan.
#9 Saudara bersembilan yang teguh di belakang saya, yang ingin kekal misteri, di atas komitmen penuh, bergolok bergadai membangunkan konten yang diharapkan mampu memaut hati-hati kalian kembali menyumbang kembali ke sekolah. ( anda tahu siapa anda )
#10 Barisan Jawatankuasa Persatuan Alumni SMKAKS sesi 2023/2026, atas kesudian berganding bahu bersama-sama menggalas amanah yang diberi, menyambung tugas memastikan Persatuan kekal releven.
#11 Pengetua, guru-guru, mantan guru dan staf, alumni-alumni yang sentiasa menyokong & mendoakan dari kejauhan.
Saudara saudari sekalian,
Ibarat anak kecil yang masih berjalan jatuh, persatuan kita masih sangat muda. Idealis nya kita mengangankan banyak citra yang indah-indah, realitinya masih jauh dari nyata. Pemilihan JK baharu untuk penggal 2023/2026 mencatatkan hanya sejumlah 151 ahli berdaftar yang layak mengundi. Jumlah ini tersangat kecil jika dinisbahkan dengan jumlah pelajar yang telah bergelar alumni sejak tahun 1995, sehingga kini.
Sewaktu misi Jejak Alumni yang dilancarkan pada penghujung tahun 2018, bagi tujuan mencari sukarelawan dan tenaga penggerak untuk menjayakan sambutan Jubli Perak SMKAKS, kita berjaya mengumpulkan sejumlah 1546 alumni dalam pangkalan data alumni.
Namun, hanya 10% daripada jumlah tersebut, memperbaharui keahlian dengan Persatuan, selebihnya; hilang jejak. Sebelum kita berdegar-degar mencanang aspirasi hendak berdiri sama gah dengan nama-nama besar Alumni yang lain, isu ini perlu ditelusuri dan diperbetulkan dengan segera.
Saudara dan saudari sekalian,
Misi ini bukan misi mustahil. Kita telah buktikan melalui kejayaan penganjuran Rabitah : Jubli Perak SMKAKS 2019 yang lalu. ‘Against all odds; we did it before, we can do it again’.
Dalam kita mengecapi kejayaan demi kejayaan pada hari ini, sebahagiannya adalah kontribusi SMKAKS kepada kita. Tidak dapat saya nafikan, bukan semua memori di SMKAKS indah untuk dikenang, namun masih tidak dapat menyangkal bahawa ia menyumbang dalam pembentukan sahsiah dan peribadi siapa kita pada hari ini.
Oleh itu, saudara & saudari sekalian,
Saya dengan rendah hati, mengajak saudara-saudari sekalian untuk mengambil langkah pertama, menyokong kelestarian persatuan ini dengan cara mendaftar keahlian. RM 20 setahun mungkin kecil nilainya bagi anda, tetapi percayalah, secara kolektifnya ia akan dapat membantu persatuan kita agar terus bernafas, dapat berlari setelah tegak berdiri, dapat terbang tinggi setelah puas berlari. InsyaAllah, suatu hari nanti.
Mungkin waktu itu tidak sempat kita nikmati, namun percayalah, ada bahagian untuk kita di syurgaNya nanti. Ameen ameen yra.
Teruskan menyokong!
Yang baik-baik itu dari-Nya, begitulah juga yang buruk-buruk. Namun tergantung atas kekhilafan diri saya sendiri.
Kita akan bertemu lagi, InsyaAllah.
Sekian, terima kasih.
-ilham di langit biru-
AMRAH MOHD NARAWI
PRESIDEN PERSATUAN ALUMNI SMKAKS 2023/2026